RAYA DI KEM TAHANAN PERLINDUNGAN KAMUNTING.

| |
Saya dan Suhaib beraya dengan Abah Suhaib pada hari Khamis 2 Okt 2008, raya ke 2.
Dari Sg Besar kami bertolak seawal jam 8 pagi,melalui Setiawan dan tiba di Taiping tepat jam 10.40am. Sebaik kami tiba di pintu utama Kem, saya lihat ramai orang disertai beberapa wartawan. Setelah menghubungi sdr Lim dari Voice Media, saya diberitahu ALIRAN Penang mengaajak orang ramai pergi ke Kemta untuk menunjukkan protest mereka terhadap penahanan RPK,Hindraf dan semua tahanan ISA.

Seperti biasa, kami menyerahkan kad lawatan beserta kad pengenalan pada pengawal bertugas di pintu Utama. Kemudian pergi ke pintu ke dua (tempat Suhaib berdiri di gambar) untuk menyerahkan kad lawatan sebelum masuk ke dalam.Kemudian, kami pergi ke pondok bertentangan pagar utama, sementara menunggu nombor Abah Suhaib di panggil.Saya sempat berbual-bual dengan keluarga tahanan yang lain yang sedang menunggu giliran bertemu tahanan.Puan R dan Puan J mengucapkan terimakasih diatas "duit raya' yang mereka terima dari kami- PSK-GMI.

Kemudian nombor Abah Suhaib di panggil.Kami masuk kedalam ,menyimpan handbag di locker, kemudian menunggu untuk pemeriksaan dan scanning.Kali ini agak pelik kerana ada 3 orang petugas wanita memakai celoreng, yang bersiap-sedia 'meraba' tubuh saya sebelum di scan.Sebelum itu, hati saya rasa "panas' kerana cermin mata yang saya bawa, dilarang oleh warden untuk diserahkan pada Mat Sah dengan alasan,cermin mata mesti direkodkan dan tiada tempat untuk menyimpan barang itu.Jadi cermin mata itu terpaksa saya bawa pulang kerumah dan diserahkan pada Mat Sah kemudiannya, sekiranya saya ke Kem pada minggu berikutnya.Peraturan yang kejam dan bodoh!!

Entah apa angin pengurusan Kemta, saya dan Suhaib dapat bertemu Abah tanpa menggunakan interkom setelah sejak 2004 ada peraturan baru dimana kami tidak boleh beraya secara terbuka.Kami juga tidak dibenarkan membawa sebarang bentuk makanan dari rumah. Kami berada di satu tempat sepertimana ruang interkom, tetapi tidak di tutup dengan cermin lutsinar. Kami berdua bersalaman dengan Abah Suhaib dan kemudian salah seorang warden menghulurkan senarai makanan yang boleh dibeli. Ada 3 jenis set, terdiri dari nasi impit, lemang, rendang, kuah kacang dan ayam goreng.Abah di minta memilih salah satu set itu.Tiada Tat Nenas, Almond London atau kerepek.Kami order mee goreng, nasi goreng pattaya dan 3 gelas Teh ais limau untuk dimakan ketika itu.

Abah tersenyum melihat Suhaib yang kelihatan handsome mengenakan sepasang baju Melayu.
"Dah 7 tahun abah tak pernah memakai baju Melayu pada Hari Raya..... boleh Abah pinjam kejap? " tanya Abah dan segera Suhaib membuka pakaian untuk dipakai oleh Abahnya.

Abah sempat "memeriksa" wajah Suhaib, mengusap-usap dan menyentuh pipi serta dagu yang ditumbuhi rambut halus (beard). Beliau cuba menunjukkan wajah gembira kerana dapat menyentuh wajah anak tunggalnya, tetapi gagal menyembunyikan manik-manik jernih yang jatuh dari tepi kelopak matanya.Saya memalingkan wajah kearah lain ketika melihat beliau mengesat mata dengan hujung lengan unifom yang pakainya.Suasana sunyi seketika. Suhaib hanya menundukkan kepala....

Kami tersedar bila ada banduan menghantar makanan yang di pesan. Sambil makan , kami berbual-bual mengenai isu semasa. Mutakhir ini, banyak juga berita anti-ISA yang keluar di NST dan Utusan Meloya, kerana dua akhbar itu sudah tidak mendapat sambutan. Dengar cerita, jualannya merudum teruk!

Cukup 45 minit, kami diberi waktu tambahan selama 5 minit sebelum beredar dari tempat itu.
Sebelum meninggalkan bilik lawatan, saya terpaksa membayar harga set yang di pesan. Nilai makanan itu ialah RM93.30sen!!!

(Keluarga tahanan tidak dibenarkan membawa makanan,tetapi ada beberapa tahanan dibenarkan membawa KFC dan kuih raya setelah membuat rayuan dan permintaan khas pada SB! Peraturannya pun Ikut Suka Aku!)

Nota: Suhaib dihadapan pintu ke 2 Kem Kamunting.

3 ulasan:

suealeen berkata...

selamat hari raya kak laila dan keluarga... berat mata saya memandang, saya percaya lagi berat bahu akak yang memikul. sebak baca bab 'manik² jernih'. moga Allah swt terus memberikan kekuatan buat akak sekeluarga. yang zalim pasti akan roboh! syed qutb, nabi yusuf as juga pernah dipenjara. perjalanan orang mukmin tidak pernah mudah.

oh ye.. sg besar di mana ye? maktua saya tinggal di pt 2 timur...

Merah Hitam berkata...

Sue,
Terimakasih sudi lawati blog saya.
Rumah emak saya di tengah sawah di Peket 20, Sg Hj Dorani.Tetapi sekarang kakak sulung tinggal disitu.Emak tinggal bersama kami. Ada 4 orang adik2 saya di beberapa daerah di K.L, di rumah kami memang ada sebuah bilik untuk emak.
Emak dan arwah bapa, sentiasa memberi galakan pada saya untuk berjuang untuk menebus nama baik Mat Sah kerana mereka mengenali suami saya sebagai menantu yang baik dan mereka sayang Mat Sah lebih dari anak mereka sendiri!!!

Ayiem berkata...

Assalamualaikum,berat mata memandang berat lagi bahu memikul,sekadar boleh menyatakan simpati dan sedikit sumbangan.Saya harap pihak pengurusan blog dapat meletakkan link pay per klik supaya kami dapat klik,sekurang-kurangnya dapat juga membantu...TQ

[ Merah Hitam © 2009 ]
[ Designed by وان ][ Powered by Blogger ]

[ Top ]
[ Home ]