BERTAHUN SAYA MENANTI......

| |

PEMUDA PAS AKAN MENGADAKAN PERHIMPUNAN MENDESAK ISA DI MANSUHKAN.???


Alhamdulillah… itulah ucapan pertama automatik keluar dari mulut saya sebaik saja membaca tajuk laporan HARAKAH itu.Sudah bertahun-tahun saya menanti kata-kata keramat ini keluar dari Ketua Pemuda PAS, YB Salahudin Ayub.


Tiada pembelaan.

Saya menoleh pada tahun 2002,ketika itu Mahathir menjadi PM, suami saya dan 50 yang lain telah ditangkap dan dinamakan ahli Kumpulan Militan Malaysia(KMM) dan beberapa minggu kemudian tuduhan ditukar kepada ahli Jemaah Islamiyyah(JI) .Ketika itu tiada “suara bising’ dari mana-mana pemimpin Barisan Alternatif jauh sekali dari ahli komponen BN.Media arus perdana menggambarkan semua yang ditahan ketika itu memang benar-benar pengganas sepertimana dipaparkan didada akhbar.Polis SB yang begitu jahat serta berleluasa, menakutkan rakyat pada ISA.


Walaupun penahanan di tonjolkan didada akhbar, namun tiada kenyataan akhbar,tiada “vigil” dan tiada perhimpunan menuntut semua tahanan dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah.Badan-badan ugama seperti majlis Fatwa, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan mufti-mufti yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan membela mereka yang ditahan tanpa bicara ini, malangnya semua mendiamkan diri, mungkin kerana gaji mereka dibayar oleh penguasa ISA.mustahil mereka sanggup memperjudikan periuk nasi semata-mata untuk menyatakan bahawa ISA adalah zalim dan mencabul hak asasi manusia.Namun yang jelas, ketika itu, ISA amat asing pada rakyat Malaysia.


Prinsip

Saya bersyukur kerana ada Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) sebuah badan gabungan parti politik dan NGO yang sentiasa berpegang pada perinsip bahawa semua yang dituduh,mesti dibicarakan di mahkamah .ISA zalim kerana menghalalkan penahanan tanpa bicara untuk jangkamasa yang tidak menentu.Bertitik tolak dari situ, GMI membuat siri kempen bebaskan tahanan “KMM/JI” yang di tuduh pengganas Islam itu. Kami mencari apa saja peluang untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat supaya memahami isu ISA ini dan berpegang teguh pada prinsip bahawa semua tahanan tidak bersalah kecuali setelah dibuktikan di mahkamah.Kesan dari kempen berterusan, telah menyebabkan sebahagian besar tahanan KMM/JI dibebaskan secara terpilih.

Tahanan 6 Tahun-ISA.

Kini dari 51 tahanan itu hanya lapan orang yang ditahan sejak 2002 dulu, masih belum dibebaskan.Kesemua mereka telah dilanjutkan penahanannya dari 6 tahun pada lapan tahun.Tahanan lain telah dibebaskan secara terpilih,tanpa pernah dibicarakan di mahkamah untuk membersihkan nama baik mereka yang telah dicemar oleh Menteri Dalam Negeri.

Lima Hindraf

Pemimpin Hindraf telah di tahan pada Disember tahun lepas.Kesannya, semua lapisan bangsa di negara ini telah mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Menteri Dalam Negeri kerana menyekat suara kaum India yang cuma ingin bertanyakan hak-hak mereka selepas lima puluh tahun di tindas oleh regim Barisan Nasional.Ketika itu, isu ISA menjadi panas buat beberapa ketika hinggalah berakhirnya Pilihanraya ke 12 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menguasai lima negeri di semenanjung. Mereka sungguh bertuah kerana Presiden MIC, Samy Velu pun menuntut mereka segera dibebaskan.


Pakatan Rakyat dan Bar Council.

Kemenangan Pakatan Rakyat membuka banyak ruang untuk mendedahkan isu tahan tanpa bicara ini di Parlimen. Datuk Seri Dr Wan Azizah –Ketua Pembangkang di Parlimen awal tahun ini,telah menyebut isu ISA ini dalam ucapan beliau.Ini disusuli dengan pelbagai soalan tentang ISA disenaraikan dan cuba dibahaskan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, tetapi semuanya disekat oleh pihak kerajaan .Ramai Ahli Parlimen bersedia untuk membahaskan usul bebaskan tahanan dan mansuhkan ISA,tetapi hampir setiap peluang ditutup rapat oleh penguasa ISA.Selain itu, GMI juga mendapat sokongan padu dari Bar Council yang mengeluarkan usul mansuhkan ISA selain menyusun lawatan peguam ke Kem Kamunting. Sekurang-kurangnya,lawatan itu menggembirakan tahanan kerana ada orang luar yang memberi perhatian kepada mereka.


RPK, Tan dan Teresa.

Tanpa diduga, tiba-tiba pula blogger tersohor Raja Petra Kamarudin yang terkenal dipanggil RPK, Wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng dan YB Teresa Kok pula ditahan dibawah ISA.”Mungkin ada kebaikkannya mereka ditahan…” kata seorang teman karib saya yang juga seorang peguam dan aktivis Hak Asasi terkenal. Ketiga-tiga mereka iaitu RPK, wartawan Sin Chew dan YB Teresa adalah individu yang dikenali. Bila mereka ditahan, semua pihak terutamanya DAP dan MCA begitu lantang membela mereka dengan pelbagai program yang bertujuan memberi tekanan kepada penguasa ISA hingga akhirnya Cik Tan dan YB Teresa segera dibebaskan dari ISA.

Selamatkan Malaysia dari ancaman UMNO-BN

Saya berpendapat, langkah Pemuda mendesak ISA dimansuhkan adalah satu tindakan bijak dan selari dengan kehendak rakyat yang mahukan ISA di mansuhkan sahaja .
Sebelum ini, Pemuda PAS Negeri memang telah lama membantu GMI memahamkan ISA pada rakyat terutamanya yang tinggal diluar bandar.Tetapi kali ini, bila gesaan itu datangnya dari pucuk pimpinan tertinggi, maka akan lebih mudah lagi ISA itu segera dibuang dari bumi Malaysia ini.
Saya yakin Pemuda tidak hanya melakukannya untuk RPK, Hindraf atau yang dah 6 tahun merengkok di Kem Kamunting...tetapi ialah untuk menyelamatkan Negara dan seluruh isinya dari UMNO-BN yang berterusan memperbodohkan rakyat dan memberi ancaman terhadap kehidupan dan amalan demokrasi yang kita semua impikan.

0 ulasan:

[ Merah Hitam © 2009 ]
[ Designed by وان ][ Powered by Blogger ]

[ Top ]
[ Home ]