ISA BERSIFAT ZALIM BUKAN PEMULIHAN.

| |
ISA Bersifat Zalim Bukan Pemulihan
24 Februari 2009

1. Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam Forum Bicara Tokoh seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar bertarikh 24 Februari 2009 bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan satu pendekatan pemulihan akhlak dan bukan berbentuk hukuman adalah satu kenyataan bohong.

2. Manakala luahan oleh dua orang bekas tahanan ISA iaitu Zabidi Mohamad, bekas Ahli Arqam dan Faiz Abu Bakar Bafana seorang ahli Jemaah Islamiyyah dalam majlis yang sama lebih merupakan luahan akibat daripada ‘brainwash’ dan tekanan yang berterusan oleh anggota Cawangan Khas untuk meyakinkan mereka bahawa sifat ‘pemulihan’ ISA lebih ringan di banding hukuman di bawah undang-undang lain. Ia juga untuk meyakinkan mereka bahawa mereka telah melakukan kesilapan yang besar dan diberikan peluang kembali ke pangkal jalan. Dalam konteks ini, soalan paling asas yang perlu ditanya ialah apakah kesalahan mereka dan apakah bukti mereka melakukan kesalahan tersebut? Apakah benar pengakuan mereka selepas didesak dan didera berhari-hari?

ISA Mencabul Hak Asasi dan Menghukum Tanpa Bicara

3. Apakah membelasah tahanan separuh mati dan memenjarakan mereka sehingga bertahun-tahun lamanya tanpa perbicaraan dan tanpa bukti termasuk dalam pendekatan pemulihan akhlak? Apakah menyoal siasat mereka selama berhari-hari tanpa tidur yang mencukupi sebahagian daripada pemulihan? Apakah mendesak mereka membuat kenyataan dan pengakuan palsu juga kaedah pemulihan akhlak? Apakah memisahkan isteri dan anak-anak dari mereka serta memecahbelahkan rumah tangga termasuk dalam tafsir pemulihan akhlak? Apakah kemasukan anak-anak mereka ke dalam wad psikiatri akibat sakit jiwa bukan satu penganiayaan? Apakah ini juga sebahagian daripada pendekatan pemulihan akhlak? Sila nafikan jika perkara ini semua tidak berlaku di bawah ISA.

4. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah berkali-kali menegaskan bahawa ISA adalah satu akta yang membenarkan penahanan tanpa had dan tanpa sebarang perbicaraan. Ia bukan saja mencabul hak asasi mangsanya, tetapi turut menganiaya ke semua pihak yang ada pertalian keluarga dengan mangsa tersebut.

5. GMI tetap berpegang kepada prinsip asas deklarasi hak asasi manusia sejagat bahawa sesiapa saja yang ditahan atau dituduh bersalah mestilah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di hadapan hakim yang berwibawa dan disertakan bukti-bukti kukuh yang boleh menyokong pertuduhan tersebut.


Kuasa mutlak dan kabur ISA

6. Sejak ISA diperkenalkan pada tahun 1960 dan setelah melalui pelbagai proses pindaan, namun ia masih tetap mengekalkan ciri utama iaitu tahan tanpa bicara dan pemberian kuasa yang mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan, menghukum, melanjutkan atau membebaskan mangsa ISA. Contohnya dalam kes penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng pada September 2008. Beliau ditahan di bawah ISA kerana Menteri Dalam Negeri ingin menjaga keselamatan beliau. Begitu juga dengan kes Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok yang diselubungi misteri akan sebab musabab mereka ditahan ISA. Aktivis reformasi ditahan pada tahun 2001 dengan tuduhan yang sangat berat iaitu mahu menggulingkan kerajaan melalui kekerasan dengan menggunakan bahan letupan, molotov cocktail dan pelancar roket! Sehingga ke hari ini, bukti tersebut tidak pernah dikemukakan.

7. GMI juga mengambil berat pelbagai kes penyeksaan yang diadu oleh tahanan ISA ketika menjalani siasatan 60 hari pertama di bawah Seksyen 73 dalam Pusat Tahanan Reman Polis. Tahanan mendakwa mereka dibogelkan, dipukul dengan objek keras, diberi makanan yang sudah basi dan bermacam-macam lagi seperti yang dilaporkan dalam kes perbicaraan saman Malek Hussin yang telah memenangi kesnya di mahkamah pada tahun 2007.

8. Tahanan ISA masih terpaksa melalui proses penyiasatan yang dilakukan oleh polis ketika dihantar untuk menjalani apa yang dikatakan proses pemulihan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting (Kemta). Contohnya bekas tahanan ISA Sanjeev Kumar yang ditahan pada awal tahun 2008 telah lumpuh beberapa bulan beliau dihantar ke Kemta. Setakat ini, ada tahanan ISA yang telah ditahan tanpa pernah dibawa ke mahkamah melebihi 7 tahun lamanya. Dr Abdullah bin Daud, seorang bekas pensyarah di sebuah universiti tempatan, telah ditahan sejak Disember 2001 hingga kini. Bagaimanakah nasib anak-isteri yang ditinggalkan oleh beliau?

ISA Menganiaya Tahanan dan Keluarga

9. Kenyataan ini tidak lengkap jika tidak disertakan dengan pelbagai kisah kesukaran ibubapa, isteri dan anak-anak mangsa ISA. Isteri terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan bapa pada anak-anak. Selain terpaksa bekerja untuk mencari rezeki bagi keluarga, isteri terpaksa bermusafir beratus kilometer dari tempat kediaman mereka ke Kemta untuk bertemu suami. Isteri juga menghadapi pelbagai gangguan mental dan fizikal daripada polis cawangan khas (Special Branch) yang dibayar khas untuk memastikan mangsa ISA dan keluarga mereka akan berdiam diri dan menyembunyikan segala pengalaman buruk mereka sebagai mangsa ISA.

10. GMI juga telah dimaklumkan terdapat empat orang tahanan ISA yang telah bercerai dengan isteri masing-masing ketika mereka masih dalam tahanan. Bukan setakat perceraian, ada anak-anak tahanan ISA yang telah disahkan menghadapi masalah mental dan masih mendapatkan rawatan psikiatri disebabkan tidak mendapat bimbingan dan kasih sayang daripada seorang bapa dalam jangkamasa yang terlalu lama.

11. GMI ingin mengulangi bahawa SUHAKAM, sebuah badan hak asasi kerajaan yang ditubuhkan khas untuk menjaga hak asasi rakyat Malaysia, telah mengesyorkan sejak 2003 lagi supaya ISA dimansuhkan dengan segera kerana penggunaannya telah terbukti mencabul hak asasi manusia dan lebih memudaratkan dari membawa kebaikan kepada mangsanya.

ISA Zalim dan Kejam

12. Berdasarkan fakta di atas, GMI berpendirian bahawa penggunaan ISA lebih banyak mendatangkan mudarat dan penyeksaan kepada orang yang dijadikan mangsanya berbandingkan dengan propaganda bahawa akta itu adalah untuk tujuan pencegahan dan pemulihan semata-mata. Tan Sri Ismail Omar perlu menyemak faktanya dan dua bekas tahanan itu perlu memberikan pendapat seadilnya berdasarkan fakta yang lebih lengkap.

13. Kesimpulannya, ISA bersifat sangat zalim dan kejam. Kepentingan rakyat dan negara amat penting dijaga tetapi bukan dengan jalan menyeksa, menganiaya dan mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara. Langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan ketelusan.

14. Sebagai orang Islam, kita diingatkan akan ayat-ayat Qur’an dalam Surah An-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat”.

15. Kezaliman akta ISA bukan saja ditolak oleh Islam, tetapi juga oleh semua agama yang ada di Malaysia . Justeru, GMI masih dengan pendirian bahawa ISA mesti dimansuhkan dan Kem Kamunting perlu segera ditutup.

Mansuhkan ISA!
Bebaskan Tahanan!
Tutup Kemta!

6 ulasan:

Ahmadkmz berkata...

sokong ISA bermakna membelakangi hukum Tuhan.

Tanpa Nama berkata...

Kalau kita 'tak buat hal' takkan kena ISA..., sedangkan TPM (DSI) pun boleh dimasukkan kepenjara tanpa sebab (kata TDM), siapalah kita ni lawan 'pemerintah'!

Merah Hitam berkata...

Tanpa Nama 00:59,

Saya rasa anda ni orang UMNO. Tuan Guru Nik Aziz kata, kebanyakan orang UMNO ni tak lengkap rukun Iman mereka kerana tidak percaya pada hari akhirat.

Saya rasa bukan rukun Iman saja tak lengkap, mungkin ayat Quran pun tak percaya. Cuba tengok ayat Quran surah An Nisa' Ayat 58....Allah menyuruh kamu menyampaikan amanta pada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya menetapkan dengan adil..."

7 tahun ditahan tanpa sekali pun dibicarakan dimahkamh, dimana keadilannya? Bagaimana nak tahu kesalahan yang dilakukan jika tidak pernah dibuktikan di mahkamah? malaysia ni tak ada mahkamah? Tak ada hakim? Kita ni masih duduk dalam hutan, atas pokok lagi ke?

Tanpa Nama berkata...

Oops... saya harap puan jangan salah sangka. Apa yang saya maksudkan ialah sekiranya 'pihak berkuasa' nak masukkan kita kedalam 'jail', mereka boleh buat. Nak guna mahkamah pun boleh, 'bukti' mereka boleh 'cipta', sebab mahkamah pun dalam 'tangan' mereka. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada DSI, macam-macam bukti 'yang tak masuk akal'pun boleh diadakan, sehinggakan tilam buruk pun diusung kedalam mahkamah. Oleh itu, bersabarlah dengan 'ujian' yang diberikan dan banyakkan berdoa semoga hati-hati 'mereka' yang 'berkuasa' itu dilembutkan oleh Allah s.w.t. Jika kita benar-benar ikhlas, Insya Allah doa kita akan dimakbulkan. Saya sangat bersimpati dengan masaalah puan...

Tanpa Nama berkata...

LELA,
LAWAN TETAP LAWAN......
BONGKARKAN SEGALA KELEMAHAN/KEBURUKAN LAWAN.

KADANG2 MATA PENA LEBIH TAJAM DARI HUJUNG PEDANG....

SALAM JIHAD SIBER......

---makman---

Tanpa Nama berkata...

Sekiranya 'pihak berkuasa' nak masukkan kita kedalam 'jail', mereka boleh buat. Nak guna mahkamah pun boleh, 'bukti' mereka boleh 'cipta', sebab mahkamah pun dalam 'tangan' mereka. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada DSI, macam-macam bukti 'yang tak masuk akal'pun boleh diadakan, sehinggakan tilam buruk pun diusung kedalam mahkamah. Cuba berfikir sejenak, betul atau tidak apa yang saya nyatakan diatas... 'Mereka yang berkuasa ini' boleh menggunakan apa sahaja untuk menahan atau menghalang orang yang lemah... ISA... Mahkamah... kerana semua itu senjata ditangan mereka. Kita nak tulis dalam Blog, silap haribulan kena cekup macam RPK. Wbp seperti yang saya katakan, banyakkan bersabar serta berdoa... Hanya Allah yang mempunyai 'KUASA' mutlak...

[ Merah Hitam © 2009 ]
[ Designed by وان ][ Powered by Blogger ]

[ Top ]
[ Home ]