ISA di majlis perkahwinan Suhaimi.

| |
"Bila nak balik kampung? Semua tanya bila Kak Nor balik....." itulah sms dari Lyn, adik bungsuku dan ibu kepada Arissa yang sedang ku dukung itu.Itu adalah sms ke enam yang kuterima dari adik beradik ku ,semuanya bertanya bilakah aku akan pulang untuk sama-sama meraikan majlis perkahwinan anak sepupu kami.
Jam 10.20 pagi tadi aku tiba di rumah sepupuku di Kampung Peket 20 , Sungai Besar . Aku dan sepupuku Kak Umi Salamah sangat rapat kerana Kak Umi dibesarkan oleh ibuku.Kami membesar bersama-sama dan dah macam adik beradik seibu-sebapa.Seronok juga sesekali berkumpul ramai-ramai begini.... dapat mengimbau kenangan lama dan juga bersembang tentang perkembangan terkini masing-masing.Dan aku tak pernah terfikir, begitu ramai saudara mara dan orang kampung yang " sentiasa mengikuti perkembangan diriku" setiap masa.....
Setiap kali berada di majlis kenduri seperti ini pertemuan itu tidak lengkap sekiranya aku dan adik-adikku tidak duduk sekelumpuk di penjuru ruang tamu rumah. Walaupun semuanya tinggal di Kuala Lumpur, namun peluang bertemu seperti ini, tidak dilepaskan untuk menjalinkan "reunion" antara kami....Adik-adik ku Lin dan Husna sibuk dengan anak kecil masing-masing , Hajar pula kelihatan lebih relax dan santai dengan anak-anak yang semakin membesar....dan Suhaib pula menjadi sasaran utama untuk "mendukung'sepupunya, baby Aiman yang sedang lasak itu.


Sementara menunggu ketibaan pengantin, kami turut melayani kehadiran tetamu yang begitu ramai jumlahnya. Lencana ISA yang sentiasa aku gunakan untuk mengikat tudung, ternyata menarik minat ramai untuk bertanya mengapa Abah Suhaib belum di lepaskan oleh Menteri Dalam Negeri. Aku tidak menyangka, ramai juga penduduk kampung di kubu kuat UMNO ini yang mengetahu tentang kisah ku yang telah 7 tahun menjadi isteri seorang tahanan ISA. Mungkin inilah salah satu kejayaan HARAKAH yang tidak pernah jemu memuatkan cerita ISA di akhbar kecil itu. HARAKAH agak sukar didapati di perkampungan ini, namun rupanya, makin sukar akhbar itu diperolehi, makin ramai yang secara sembunyi meminati isi kandungannya.

Saat yang ditunggu pun tiba. Pengantin dan rombongannya telah berada di halaman rumah. Aku diminta oleh Kak Umi untuk menyambut rombongan tersebut.Ahhh malunya!!! Namun, setelah didesak beberapa kali oleh Kak Umi, aku pun segera menuju ke halaman dan menjadi wakil tuan rumah mempersilakan rombongan itu masuk ke ruang tamu dan kemudiannya menemani mereka menikmati hidangan bersama kedua-dua mempelai.Sewaktu menghadap hidangan pengantin, aku perhatikan Suhaimi dan isterinya kelihatan ceria dan sentiasa tersenyum saja.Alhamdulillah, moga ikatan perkahwinan akan berkekalan hingga akhir hayat....





Aku bertemu Sharifah, seorang teman lama yang suatu ketika dulu amat rapat denganku, namun hanya disebabkan sedikit perbezaan kefahaman politik, kami jadi agak renggang. Yang jelas, beliau masih menjadi salah seorang yang paling kuat menyokong parti berlambang keris itu. Aku menghormati hak dan pendapat beliau. Namun di pertemuan siang tadi, aku dapat menghidu sedikit kelainan padanya. Sewaktu kami bersalam, dia memelukku terlalu erat sambil berbisik supaya lebih sabar dan terus kuat..... "Teruk sangat ye ISA ni....." itu saja yang diluahkannya.


Sebenarnya bukan Sharifah saja yang berkata sedemikian, tetapi ramai lagi tetamu yang datang, yang terdiri dari orang-orang kampung yang tidak mesra internet, tidak tahu tentang blog dan hanya mendapat berita dari dua saluran TV kerajaan BN dan TV 3 saja.... mengatakan demikian kepada ku. Rupanya, setiap kali ada hebahan tentang pembebasan tahanan ISA, mereka pakat ramai-ramai mengadap TV hanya untuk mengetahui samada Abah Suhaib telah dibebaskan atau belum!


Jadi.... jangan pula ada pihak menyalahkan ku jika makin ramai orang kampung yang celik ISA kerana mereka melihat "live ISA victim" dihadapan mata mereka!!!! Sekiranya pihak berkuasa tidak tahan Abah Suhaib sebegini lama, mungkin sampai bila-bila, rakyat tidak tahupun apa itu ISA dan segala kejahatannya!!!




1 ulasan:

ANAK KOMANDO REJ 1 berkata...

BERSABARLAH...BIAR KITA BERJUANG SECARA HALUS PULAK. INSYAALAH. KITA ADA ALLAH SAYA YAKIN DIA MAHA MENDENGAR RAYUAN HAMBA2NYA YG TELAH DIZALIMI...POLIS...KEDATANGAN ANDA TIDAK DIUNDANG...

[ Merah Hitam © 2009 ]
[ Designed by وان ][ Powered by Blogger ]

[ Top ]
[ Home ]