Cukuplah enam tahun mereka dizalimi..."
Anis Nazri Foto Wan Zahari Wan Salleh Fri Apr 11, 08 2:17:50 pm MYT
Penahanan lanjutan tanpa alasan kukuh dan munasabah seharusnya dihentikan kerana mangsa dan keluarga tahanan ISA sudah terlalu lama menderita setelah mangsa ditahan lebih enam tahun.
Anis Nazri Foto Wan Zahari Wan Salleh Fri Apr 11, 08 2:17:50 pm MYT
Penahanan lanjutan tanpa alasan kukuh dan munasabah seharusnya dihentikan kerana mangsa dan keluarga tahanan ISA sudah terlalu lama menderita setelah mangsa ditahan lebih enam tahun.
Sehingga hari ini, berdasarkan statistik terkini GMI yang diperolehi daripada sumber keluarga tahanan, seramai 10 tahanan akan cukup tempoh enam tahun penahanan mereka, termasuk lima tahanan yang telah dilanjutkan penahanan mereka untuk dua tahun berikutnya, menjadikan lapan tahun.
"10 tahanan yang dinamakan 'Jemaah Islamiyyah' (JI) adalah tahanan ISA yang paling lama ditahan di bawah ISA di abad ke 21 ini. Sepanjang tempoh ditahan, tiada satu pun bukti yang dapat dikemukakan pihak Kemta. Mengapa tempoh ini perlu dilanjutkan?" soal Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, dalam sidang media, di Dewan Perhimpunan Cina, hari ini.
Justeru, GMI telah merancang satu kempen khas untuk mereka yang ditahan selama enam tahun ini yang bertemakan "Cukuplah enam tahun mereka dizalimi' dengan harapan rakyat turut bangkit memberi sokongan.
Menurut Pengarah Program kempen ini, Norlaila Osman, kempen ini telah bermula sejak Februari 2008 dan akan berlanjutan hingga Jun 2008.
"Walaupun pada dasarnya kempen ini diadakan khas untuk mereka yang telah ditahan selama enam tahun, namun GMI sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa semua tahanan ISA hendaklah dibicarakan atau dibebaskan," tegas beliau, yang juga merupakan seorang isteri tahanan ISA, Mohd Sah Satray, yang kini masuk tahun ke enam ditahan.
Antara kempen yang dijalankan GMI ialah 'Letter Signing Marathon/ Petition On-Line'yang bermula April ini, kempen poskad (Mei), mogok lapar dan 'vigil' (Jun).
Kempen 'Letter Signing Marathon' dan 'Petition On-Line' ini boleh dicapai melalui laman web Suaram, www.suaram.net (bahagian 'events') dan petitiononline.com/NoISA/petition.html.
"Jika rakyat telah menunjukkan keberanian menolak kerajaan BN dengan menafikan dua pertiga dalam parlimen, maka bangkitlah dan tunjukkan keberanian sekali lagi dengan mendesak kerajaan membebaskan tahanan enam tahun serta semua tahanan yang ditahan di bawah ISA yang zalim," tegas Norlaila.
Sementara itu, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, menyerahkan sumbangan cek bernilai RM3000 kepada GMI, hasil sumbangan daripada pembaca Harakah yang prihatin dengan kesengsaraan keluarga mangsa ISA, khususnya isteri dan anak-anak.
"Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban perasaan dan kewangan yang ditanggung isteri dan anak-anak mangsa ISA. Saya juga merakamkan terima kasih kepada penderma yang bermurah hati menyumbang untuk tujuan ini.
"Harakah akan berusaha menimbulkan kesedaran awam, bukan saja untuk terus menentang kezaliman ISA dan berkempen membebaskan semua mangsa di Kamunting, tetapi juga mengutip bantuan kewangan untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang amat memerlukan," ujar Lutfi.
0 ulasan:
Catat Ulasan