Tidur kami juga dibelenggu ISA!

| |
Abah Suhaib memakai baju T yang bertemakan merah hitam anti-ISA.
Abah tertidur seketika sebalik saja tamat mengulangkaji beberapa surah yang telah dihafaz.

Hari ini masuk 50 hari Abah Suhaib dibebaskan dari Kem. Pagi tadi Mat Sah menemaniku ke bank kerana ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan. Dan sebaik saja berada di bank cawangan yang berlambangkan kepala harimau itu, Mat Sah disapa oleh beberapa orang yang tidak dikenali.Dari jauh aku hanya perhatikan saja gelagat beliau.Mereka yang menegur itu bukanlah polis atau SB tetapi dari kalangan rakyat biasa yang mengikuti perkembangankempen anti-ISA yang dilakukan oleh Gerakan Mansuhkan ISA.

Tujuh tahun abah tak beli baju baru. Baju-baju lama memang dah tak boleh dipakai lagi kerana sudah rosak dan banyak yang telah disedekahkan pada orang lain.Jadi, aku memberi pilihan samada beliau ingin membeli baju-baju T di pasaraya atau memakai baju T yang banyak dijual oleh NGO dan aktivis hak asasi.Nampaknya Abah telah memilih untuk memakai baju T lambang perjuangan NGO hal asasi.Dan pastinya, beliau akan memilih untuk memakai baju yang dibuat sempena Himpunan MANSUH ISA yang telah 3 bulan berlalu!!!

Tujuh tahun tidak membeli baju baru, tidaklah begitu pelik padaku.Namun, tujuh tahun hidup seperti "ayam di kandang' memang turut memberi kesan dalam kehidupan yang sedang kami layari bersama. Waktu tidur beliau juga terpaksa di "jadual" semula.

Di Kemta, tujuh malam hingga 7 pagi, mereka di kurung di dorm dan pintu dorm dikunci dari luar.Kunci mangga dorm di pegang oleh warden Kem.Semua tahanan tiada pilihan melainkan terpaksa menyesuaikan diri dengan malam yang panjang tanpa sebarang aktiviti,mahupun lampu atau kipas.Jika hendak membaca buku, mereka hanya dapat berbuat demikian dengan menggunakan cahaya samar-samar simbahan dari lampu yang terletak diluar dorm.Biasanya membaca dalam cahaya suram tidak bertahan lama kerana ianya menyakitkan mata. Justeru, pilihan yang ada hanya tidur, tidur dan tidur.

Bila dah bebas ni, abah masih lagi terbawa-bawa dengan jadual tidur yang lama.Beliau biasanya tertidur seawal jam 9 atau 9.30 malam dan akan terkejut secara automatik pada jam 1.30 pagi.Beliau menunaikan solat malam dan membaca quran hinggalah waktu subuh!!!Jadual tidur beliau amat berbeza denganku.Malam adalah saat dimana biasanya aku dibanjiri ilham untuk menulis.Dari jam 9 hingga 2 pagi, aku biasanya menghabiskan masa dihadapan komputer untuk menulis pelbagai rencana berkenaan "detention without trial". Sejak hari pertama dipisahkan dari Abah, aku hidup dengan penjadualan seperti itu.Hingga kini, mataku tidak akan mengantuk, hinggalah jam 1 atau 2 pagi!!

Perbezaan jadual tidur membuatkan aku masih terasa dizalimi oleh ISA.Disebabkan perbezaan jadual itu, kehidupan kami belum lagi sempurna.Kini, kami sedang sama-sama berusaha untuk menjadualkan semula waktu tidur sepertimana pasangan normal yang lain.....

0 ulasan:

[ Merah Hitam © 2009 ]
[ Designed by وان ][ Powered by Blogger ]

[ Top ]
[ Home ]