Syukur Alhamdulillah, sidang akhbar di SUHAKAM telah mendapat sambutan yang sungguh baik dari media, seolah-olah program itu dihadiri oleh seorang menteri!!!Saya diberitahu oleh beberapa buah media berbahasa Cina mengatakan mereka mahu isu ISA ini benar-benar di pandang berat oleh PM Najib sebagaimana yang disebut dalam ucapan beliau pada 3 April yang lalu.Rakyat mesti diberitahu, bilakah kerajaan Malaysia akan menutup Kem Kamunting, sebagaimana janji Presiden Obama yang akan menutup Kem Guantanamo dalam masa setahun.
Tidak dinafikan isu penahanan Agus dan 2 yang lain dibawah ISA adalah satu bukti kuat bahawa kerajaan belum bersedia melakukan samada "review" apatah lagi "repeal" terhadap akta tahan tanpa bicara itu.Oleh sebab itu, pengamal media bebas merasakan mereka amat bertanggungjawab membantu mendedahkan kes-kes penahanan terbaru ini supaya rakyat akan terus menolak kerajaan yang sedia ada. Fenomena baru ini, iaitu sokongan media terhadap kempen anti-ISA, sudah tentu amat berharga terutamanya dalam usaha memberikan pendidikan dan kesedaran awam tentang kejahatan ISA ini."Media sekarang bertuah kerana boleh mendapatkan berita soheh penahanan tanpa bicara ini , secara langsung dari GMI " demikian kata Anis dari Harkah.
Terimakasih yang tidak terhingga diucapkan pada Nashita kerana meluangkan sebahagian besar masa beliau untuk menyantuni dua beranak ini. Semalam, Isnin 20 April, beliau telah menghantar Junaidi serta ibunya bertemu Agus di Bukit Aman. Saya hanya menyediakan makanan kering serta set lauk untuk makan tengahari bagi keluarga itu.Saya amat memahami perasaan mereka yang telah berbulan-bulan tidak bertemu Agus yang selama ini bekerja di Johor .Pastinya keinginan untuk mengetahui status kesihatan anak kesayangan Ibu Kartam ketika berada dalam tahanan polis, terlalu tinggi dan tidak dapat di luahkan dengan kata-kata....
Lawatan keluarga Junaidi dan ibunya di Bukit Aman sepatutnya berakhir dengan gembira namun, tiada siapa menyangka, pihak polis rupanya telah membuat perancangan lain pula.Setelah bertemu selama 40 minit, Junaidi telah dibawa SB keluar dari tempat lawatan, disuruh pulang ke Ampang mengambil beg pakaian dan dijanjikan akan dihantar oleh polis pulang ke Medan atau ke Johor- rumah adik Agus yang bernama W tadi.Menurut polis SB, yang penting dua beranak itu jangan lagi tinggal di Kuala Lumpur.Sewaktu Junaidi dibawa keluar, ibunya Kartam berada di dalam bilik lawatan bersama SB.(Kami tidak tahu apakah yang dilakukan oleh SB wanita kepada Ibu Kartam sepanjang 3 jam beliau berada di bilik lawatan).
"Semua polis sayangkan Agus , polis tak buat apa-apa pada Agus, cubit badannya pun tidak.Boleh buka baju dan tengok sendiri. Agus juga tinggal di hotel dan makanannya mewah sekali.Polis kata aan bebaskan Agus minggu depan" demikian yang disebutkan oleh Ibu Kartam kepada dua orang wartawan TV Indonesia.Aku tersenyum mendengar kata-kata itu. Itu adalah dialog yang sama, yang diucapkan oleh mana-mana keluarga tahanan ISA sejak dari zaman Syed Hussien Ali yang ditahan dibawah ISA pada tahun 70an dulu. Cuma nama tahanan saja yang ditukar dalam dialog tersebut.
Kelihatannya Ibu Kartam amat gembira dengan pertemuan itu. Namun disebalik kegembiraan itu, beliau ingin meninggalkan kota metropolitan Kuala Lumpur secepat mungkin. Beliau juga tidak mahu lagi diwawancara wartawan dan tidak mahu pergi ke kedutaan Indonesia, sebagaimana yang telah dipersetujui ketika mereka masih di Medan lagi.
Sebagai satu protes, Ibu Kartam asyik menangis saja dan meminta kami menghantar beliau ke Puduraya supaya dapat pergi ke Johor secepat mungkin.Jika sebelum ini, Ibu (panggilan saya padanya) terlalu ingin mengikut saya membeli-belah di pasaraya GIANT, dan JUSCO yang kami hanya sempat lalu dihadapan dua bangunan itu...namun sebaik saja keluar dari Bukit Aman, beliau tidak mahu lagi berada di mana-mana tempat di Kuala Lumpur ini.
Dan yang lebih menyedihkan, beliau tidak mahu lagi bercakap dengan saya dan Nashita!!!
Namun kami berdua tidak terperanjat dengan perubahan drastik ini kerana telah maklum, a state of fear yang terlalu tinggi memang dengan mudah menukar sikap seseorang dari positif kepada sebaliknya.Ini membuktikan, peranan SB yang dibayar gajinya oleh rakyat Malaysia... masih lagi beroperasi seperti biasa dengan menakut-nakutkankan tahanan ISA serta keluarga....
"Saya hanya mahu bantu Ibu dan Junaidi.Semua ni dilakukan Lillahi Taala. Saya hanya mengharap ampunan dan pahala dari Allah saja. W yang hubungi saya berkali-kali tempoh hari dan saya rasa wajib membantunya." sempat aku luahkan pada Ibu Kartam yang kelihatan serius dan langsung tidak mahu menoleh kearah ku.
Sepertimana yang telah ditetapkan, GMI telah membawa isu mereka ke Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak. Kami telah sampaikan memo kepada Pak Selamat, Konsulat Indonesia di K.L dan telah di "cc" kan kepada Presiden Indonesia.Majlis penyerahan memo itu juga diadakan dalam keadaan "stress". Kami dapt melihat raut wajah Pak Selamat dan pembantunya yang sering kali melihat ketua sekuriti yang sama-sama berdiri di kalangan wartawan dan jurugambar.(Laporan penyerahan memo ada dalam dalam M'siakini)
Ketika posting ini di tulis, Junaidi dan ibunya telah selamat tiba di Skudai johor dan akan tinggal beberapa hari dirumah W, anak tunggal perempuan keluarga Agus Salim.Aku hanya mampu mendoakan agar Agus segera di pulangkan ke pangkuan mereka sekeluarga.