Masih meraikan Mat Sah....

| | 0 ulasan











Maaf banyak-banyak kerana lamabt posting hari ni. Semalam, jadual kami bedua amat padat.Pagi beliau dikunjungi bekas teman-teman sepejabat di DBP , tengahari di wawancara majalah Mastika, kemudian wawancara menggunakan telefon dengan HARAKAH dan akhir sekali kami dikunjungi abang sulung saya. Hampir setiap hari, kami dikunjungi tetamu.Alhamdulillah, kami percaya, tetamu yang datang itu akan pulang membawa dosa-dosa kami bersama mereka.....



Walaupun sudah hampir dua minggu Mat Sah dibebaskan, ramai pendokong kempen anti-ISA yang masih ingin meraikan saat-saat indah pembebasan itu.Mereka datang kerumah semata-mata ingin melihat dan bercakap secara "live" dengan Mat Sah yang selama ini hanya dikenali melalui akhbar dan internet.

Kami berdua, terutamanya Mat Sah amat gembira dengan perjalanan harian yang sedang kami lalui sekarang. Kami berdua juga tidak putus-putus di wawancara media alternatif yang selama ini memang banyak membantu mendedahkan tentang akta zalim ISA.

Setelah 7 tahun hidup dalam suasana ketidak pastian, tiada jadual atau aktiviti terancang, kehidupan baru ini ternyata mempu membantu Mat Sah segera pulih sepertimana beliau belum ditahan dibawah ISA, 7 tahun yang lalu.

Kami tidak pernah lupakan teman-teman GMI, SUARAM, peguam yang selama ini sering melawat beliau , bloggers dan ramai lagi....

marilah kita sama-sama raikan kejayaan ini kerana andfa semua adalah part of the solution!!!!

Read More !

Perjuanganku telah berubah?

| | 3 ulasan







Sejak Mat Sah dibebaskan,jadual harianku sibuk sikit dengan urusan rumahtangga hingga hingga aku agak kurang melayari internet dan membaca akhbar alternatif.Aku pun tak pasti apa yang disibukkan...mungkin melayani tetamu yang hampir setiap hari datang ke rumah untuk berkenalan dengan Mat Sah...agaknya...
Mat Sah seorang yang sangat simple.Beliau tidak "demand" sebarang masakan istimewa dariku. Namun memahami keadaannya yang telah 7 tahun dinafikan untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang enak-enak di Malaysia ini, aku pun cuba sedaya upaya untuk mengambil hatinya supaya tidak terasa diabaikan pula olehku....Aku pun bukan pandai masak.Sekadar menukar beberapa jenis masakan...itupun dengan bantuan buku resepi yang pernah disediakan oleh beliau, sebelum dia ditahan dibawah ISA dulu-dulu.....



Undangan dari Chong Soon dan Sing Yee tentang Pesta Tanglung anjuran bebrapa buah persatuan Cina tidak dapat ku tolak.Majlis yang diadakan di perkarangan Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu memang amat menarik.Aku diberi peluang untuk berkongsi tentang kisah ISA selama lebihkurang 10 minit.
Abah terlalu ingin untuk hadir ke majlis itu namun, Dewan tersebut terletak diluar kawasan Ampang...beliau tidak dibenarkan keluar dari kawasan Ampang tanpa kebenaran dari Ketua Polis Selangor!!!Akhirnya, aku dan Suhaib saja yang menghadiri majlis itu.
"Kak, ucapan akak sekarang dah lain..." kata Nalini dari SUARAM.Aku terperanjat dengan komen itu."Apa lainnya..." tanyaku lagi. "Akak dah tak sedih sangat bila bercerita tentang ISA" tambah Nalini lagi."OOOhhhh..." aku tersenyum.
"Ya...mungkin ucapan ada sedikit berubah... namun.....perjuangan tetap sama.Selagi ISA masih wujud, kita semua belum selamat dari akta zalim tahan tanpa bicara itu..." kataku sambil memberi "wink" pada Nalini, Yee Keong, Siew Fong dan Hong Siang yang sedang memerhatikanku....

Read More !

Benarkah semua ini?

| | 4 ulasan







Siang tadi aku dan Mat Sah menghadiri majlis rumah ternuka anjuran YB Zuraida, Ahli Parlimen Ampang. Sebaik saja tiba di lokasi jamuan, kami berdua tidak putus-putus disalami oleh orang-orang yang tidak dikenali tetapi mereka menyatakan mengikuti perkembangan perjuangan anti-ISA.Mereka kenal Mat Sah dan tahu kisah beliau yang telah 7 tahun dikurung tanpa bicara, dari media alternatif .



.Mat Sah amat terharu menerima "warm welcome" dari YB Zuraidah. Aku turut diberi pelbagai nasihat oleh YB supaya benyakkan bersabar dan terus-menerus berusaha menyesuaikan diri dengan suami yang "baru" keluar dari kem ini.
Selepas itu, kami ke sebuah pasaraya mega untuk membeli sedikit keperluan dapor. Pertama kalinya sejak tujuh tahun lebih, Mat Sah menjejakkan kaki ke pasaraya ini.
Ketika membayar di kaunter, beberapa orang telah menegur beliau.Mereka tidak sangka dapat bertemu dengan Mat Sah secara "live".Aku hanya memandangnya sambil tersenyum....Ketika kami singgah di beberapa buah kedai menjual surat khabar, tiba-tiba Mat Sah disapa lagi. Kali ini oleh tuan punya kedai tersebut yang juga amat kerap mengikuti tentang ISA dan segala mangsanya....
Mat Sah masih lagi terpinga-pinga...Dia beberapa kali berkata...benarkan semua yang sedanmg dilalui ini adalah satu kenyataan?

Read More !

Kami tuntut keadilan di akhirat sana....

| | 5 ulasan











"Suami saya seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab. Rumah, kereta, yuran anak, wang sumbangan untuk emak saya, belanja dapor, bils dan hampir segalanya, dia yang bereskan semuanya.Walaupun saya bekerja, duit gaji saya jarang digunakan untuk belanja harian kerana dia yang menyusun penggunaan wang sedemikian rupa. Selain dari pekerjaan tetap di DBP, beliau mempunyai beberapa perniagaan sampingan ie penyewaan teksi , kebab kiosk di beberapa tempat di Ampang.Dia memang selalu sibuk.Siang dia bekerja di DBP, malam pula memastikan gerai kebab dan teksinya beroperasi. Ada ketikanya beliau turut membuat "overtime" semata-mata untuk mencari duit lebih.Cara beliau bekerja seolah-oleh untuk menyara dua isteri dan berpuluh-puluh anak!!! " demikian pernah saya kongsikan kisah ini dihadapan lebih 200 ibu tunggal di sekitar Selangor dan K.L dalam satu program anjuran Wanita Jamaah Islah Malaysia(JIM).



"Selain sentiasa mencukupkan perbelanjaan rumahtangga, suami saya juga amat menitikberatkan amalan Islam dalam rumahtangga kami. Hampir setiap pagi, beliau akan bangun awal untuk solat tahajjud dan sebaik saja masuk waktu Subuh, beliau lah yang akan mengejutkan saya dari tidur. Beliau juga memastikan saya sentiasa membaca Al Quran walaupun cuma sebaris ayat" tambah saya lagi.
Selain itu, beliau mewajibkan dirinya membantu saya melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh baju,pinggan mangkuk, menyapu lantai, mengemas dapur serta bilik tidur, sekali sekala menggosokkan baju saya dan menyediakan makan malam untuk kami bertiga. "Abang tak mahu tangan Ila kasar kerana teruk membuat kerja rumah..." selalu beliau bergurau begitu.Saya tersengeh saja mendengar gurauannya. Saya tidak pernah tahu bagaimana nak membayar segala yuran dan bils.Dia terlalu memanjakan saya.....
Saya memang rasa pelik sangat, dalam dia sibuk mencari nafkah keluarga dan setiap bulan pula kami mesti balik Kampung atau pergi bercuti di pantai atau pulau kegemarannya.....tiba-tiba dia dikatakan menjadi ahli "JI" yang ada kaitan dengan terorist!!!
Tiba-tiba dia kena ISA!!!Bila dia kena ISA, saya terpaksa memulakan hidup seolah-olah seperti seorang ibu tunggal.Diiringi dengan linangan airmata, saya terpaksa belajar melakukan semua kerja sendirian.Bermula dari bangun pagi(tanpa dia yang mengejutkan) hinggalah menyelesaikan urusan Suhaib dan rumah kami....semuanya saya terpaksa lakukan sendirian.Itu tidak termasuk pergi ke Taiping setiap dua minggu untuk menziarahinya.
Itulah antara kebaikan yang pernah dilakukan oleh suami kepada saya. Kenangan indah itulah antara beberapa faktor penting yang membuatkan saya sanggup berjuang membersihkan nama baiknya disamping menunggu kepulangannya walaupun kami berdua dipisahkan lebih tujuh tahun!!!!
Kami tidak pernah redha dengan penggunaan ISA keatasnya selama ini!!!!!Didunia kami tidak diberi pengadilan, kami tuntut diakhirat sana.Itu pasti!!!

Read More !

Nasib kami serupa.....

| | 1 ulasan

Aku dan Suhaib

Bersama Puan Norhata dan 7 orang anak-anaknya.

En Lutfi menyampaikan sumbanganpada Pn Nolmina

Francis Indanan gembira menerima sumbangan dari HARAKAH.

Bekas tahananISA Artas Burhanudin bersama isterinya.

Puan Hapipah kelihatan ceria sejak suami beliau dibebaskan dari ISA.


Lebih seminggu berlalu, namun seolah-olah baru saja aku pulang dari Sandakan.Terlalu banyak peristiwa yang terjadi dalam masa satu hari di salah satu daerah dalam negeri dibawah bayu itu.Aku bersama rombongan terdiri dari En Lutfi, Pengarang Harakah, Ali Bukhari seorang penulis bebas dan Suhaib sebagai mahram di perjalanan.Kami tiba pada jam 10.30 pagi , sempat melawat beberapa keluarga bekas tahanan ISA dan sebaik saja pulang ke bilik hotel sementara menunggu waktu berbuka puasa, tiba-tiba saja aku mendapat panggilan dari suami bahawa beliau telah dibebaskan dan berada dihadapan rumah...Kesihan...aku menunggu kepulangannya bertahun-tahun dan bila dia dibebaskan, aku pula tidak ada dirumah kerana berada beratus kilometer diseberang laut China selatan...



Ketika melawat semua keluarga tersebut, aku amat simpati dengan keadaan mereka.Suami mereka yang dibebaskan dari Kem kamunting beberapa bulan yang lalu, kesemuanya masih tiada pekerjaan tetap untuk menyara keluarga kerana pelbagai sekatan yang dikenakan oleh KDN.Kedatangan rombongan kami kesana umpama "malaikat" yang datang membawa rezki untuk mereka menyambut lebaran yang bakal tiba !!! Terimakasih pada pembaca HARAKAH yang telah memungkinkan kami memberi sumbangan tersebut kepada mereka-mereka yang masih ditindas dan amat memerlukan.

Aku langsung tidak pernah terfikir, bahawa suamiku@Abah Suhaib juga akan dibebaskan ketika aku berada disana. Dan aku langsung tidak pernah terfikir bahawa aku juga bakal mempunyai nasib yang sama seperti wanita-wanita isteri pada bekas tahanan ISA tersebut.....

Diperut AirAsia dalam penerbangan dari Sandakan ke KLIA, aku tidak putus-putus berdoa supaya Allah permudahkan perjalanan hidupku dihari-hari yang mendatang.Aku tidak tahu apakah yang akan berlaku keatasku selepas ini.

Namun yang pasti, aku telah set di minda untuk menerima bapa Suhaib seadanya .......

Read More !

Luka dihatiku masih berdarah....

| | 5 ulasan

Posing untuk wartawan Malay Mail.

Mat Sah bersama Vijay, wartawan Malaysiakini.

Gambar ini diambil untuk penggambaran video Malaysiakini.

Setiap kali berhadapan dengan wartawan dan menceritakan perasaan ku ketika ini, pastinya kelopak mataku akan bergenang dan melimpahlah air dari takungannya.Ku sangka, bila suami telah dibebaskan dari ISA, aku akan berhenti menangis....tetapi rupanya tidak. Malahan melihat pada keadaannya, aku begitu simpati hinggakan airmata ini terlalu murah untuknya.



Dia terlalu ingin menziarahi kubur arwah ibu yang telah pergi tiga bulan yang lalu, namun kerana kubur itu terletak di Segambut diluar dari kawasan Ampang, maka hasrat itu di urungkan saja.Untuk menziarahi kubur, Mat Sah mesti memohon kepada Ketua Polis selangor dan jawapannya hanya akan diberi dalam masa 2 minggu.Sekali lagi dia, menjadi mangsa birokrasi polis yang lembab, tidak profesyenal dan peraturan yang sengaja diada-adakan.

Sewaktu ditahan pada 18 April 2002 dulu, bersama-sama mat Sah, polis membawa CPU komputer, sebuah kamera dan sebuah telefon bimbit.Tiga minggu selepas itu, aku dapat bertemu Mat sah di IPK Jalan Hang Tuah.Aku mendpat semula tiga barang-barang tersebut tetapi sebaik saja tiba di rumah, aku dapati, semua barangan itu telah rosak dan tidak dapat digunakan semula.Aku campak di tong sampah saja!!!Tak pelah.... aku boleh beli CPU, telefon bimbit dan kamera baru.....

Namun, setelah 7 tahun Mat Sah dikurung di Kem kamunting, minggu lepas bila dia dipulangkan kerumah selepas kononnya "di beri pemulihan" oleh KDN.....rupa-rupanya, Mat Sah juga menjadi seperti 3 barangan diatas. Aku amat sedih melihat keadaannya. Dia seolah-olah fobia dengan terlalu banyak perkara. Salah satu yang amat menyentuh hatiku ... tentang suis lampu.Aku perasan beberapa hari ini, bila dia membuka suis lampu bilik atau bilik air, dia tidak pernah menutupnya semula.Aku sengaja bertanya, kenapa beliau sering lupa menutup suis lampu. Beliau memberitahu, selama 7 tahun hidup di Kem, sekalipun tidak pernah melihat dimana suis lampu kerana ianya terletak diluar bangunan dan penjagaan suis dilakukan oleh warden yang mengawal penggunaan lampu tersebut.Beliau juga masih sering termenung memikirkan sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya....Dan setiap kali aku menceritakan kehidupanku sewaktu ketiadaannya, dia akan menangis kerana terlalu sedih mendengar kesukaran hidup yang terpaksa ku lalui, sepnajang beliau dikurung tanpa bicara di kem kamunting.

Aku terfikir, adakah KDN dan menterinya akan "cuci tangan saja" setelah tahanan dirosakkan semangat dan mentalnya selama 7 tahun tersebut?Selagi Mat Sah belum kembali seperti sediakala, susah untukku memaafkan mereka-mereka yang begitu zalim kerana cuba "membunuh" semangat beliau untuk terus hidup!!!

Read More !

"Treat him like a baby.."

| | 3 ulasan










Semalam, hari raya ke 2, kami hanya ke IPD Ampang untuk lapur diri pada SB.Saya tak suka buat kerja ni kerana secara prinsipnya, saya tidak pernah bekerjasama dengan polis berpakaian biasa tu.Tapi...kerana ada sedikit hormat pada peraturan yang sengaja diada-adakan tu, saya ikutkan saja pelawaan Mat Sah menemaninya ke tempat polis cawangan khas tersebut.



Balik dari IPD, saya ajak Mat Sah ke bank dan berikan kad ATMnya yang saya simpankan selama ini.Saya ajar dia menggunakan kad itu kembali.Dia tersenyum gembira melihat ada sedikit duit dalam kad GIROnya.Kemudian, saya bawa dia ke pasaraya GIANT untuk membeli sedikit keperluan dapor. Dia pening melihat rak-rak yang dipenuhi susunan barang-barang.Maklum, dah tujuh tahun tidak pernah masuk pasaraya!!!Kami beratur di kaunter untuk membayar harga barang-barang dan sengaja saya minta mat Sah membayar semuanya. Beliau melihat jumlah harga yang dipaparkan di skrin dan membandingkan dengan duit yang bersusun di walletnya, amat lambat sekali, beberapa minit kemudian barulah sekeping nota RM50 dikeluarkan untuk membayar baranagn yang berjumlah RM30.00.Saya hanya tersenyum melihat keadaan itu.Teruk juga kesan 7 tahun dikurung di Kem kamunting.Terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari...!!!!

Selepas itu, kami pulang kerumah. Saya ajar beliau menggunakan emel dan mula menulis beberapa perenggan cerita pendek.Dia pening melihat keyboard! Tetapi kemudian saya minta dia melihat gambar-gambar yang diambil pada hari raya pertama.Saya harap gambar-gambar itu dapat segera membantu memulihkan ingatannya tentang peristiwa di hari raya.Mat Sah tidak menyambut hari raya bersama adik-beradiknya di rumah mereka dari tahun 2001 hingga tahun 2008!!!

Ada banyak lagi aktiviti untuk membina semula "Mat Sah" sepertimana sebelum ditahan dibawah ISA pada 2002 dulu."Treat him like a baby" itu pesanan seseorang yang memang pakar dalam psikology.Saya setuju denganpendapat itu.Trauma 7 tahun dikurung , memang amat memeritkan.

Read More !

Mat Sah di Aidilfitri 2009

| | 6 ulasan




Rasa marah ada, kelakar pun banyak.Suhaib pakai baju size M, tetapi memakai seluar saiz L.Manakala baju Abah size L, dia terambil seluar size M!!!Kedua-dua beranak itu terlalu "excited" hingga tak perasan tertukar pasangan baju melayu mereka disebabkan warna yang serupa.
Saya maafkan kekecohan tersebut memandangkan, inilah kali pertama mereka memakai baju melayu sedondon sejak dipisahkan ISA ,7 tahun yang lalu.


Sebaik saja selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau berdekatan rumah kami, kami bertiga bergegas ke Kg Pandan. Kami beraya dengan keluarga sebelah Abah.Suasana riuh rendah dengan gelak tawa mereka. Semuanya tidak putus-putus mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana akhirnya Mat Sah dibebaskan juga.

Selepas bermaaf-maafan dan bergambar,adik beradik yang lain ke kubur arwah nenek di Segambut. Saya dan Abah tinggal di rumah melayani tetamu yang datang. Mat Sah tidak boleh ke kubur kerana Segambut terletak diluar daerah yang diizinkan bagi pergerakan beliau.
Kami juga tidak dapat beraya dirumah Long di Wangsa Maju , Khalid di Kepong dan Sanep di Cheras diatas alasan yang sama....

Pada waktu malam pula, kami cuba pergi beraya kerumah Kak Yah di Ampang dan Abang Ramlee di Bukit Indah, tetapi.... jam 9 malam terpaksa dirumah...disebabkan masa yang terhad, kami batalkan saja niatuntuk beraya dan akan susun jadual dihari yang lain pula....
Suhaib pula sudah berada di Sabak Bernam kerana mengikut adik saya pulang beraya di Kampung kami...

Read More !

Salaam Aidilfitri dari kami....

| | 6 ulasan


Meriah! itulah yang dapat digambarkan ketika saya, Mat Sah dan Suhaib berbuka puasa buat kali terakhir tahun 2009 ini di rumah Tok Mat, atuk Suhaib di Kg Pandan.Masing-masing gembira kerana akhirnya Mat Sah dapat berkumpul semula bersama keluarga dan saya, tidak perlu lagi memandu beratus kilometer ke Kem Kamunting bagi meraikan 1 Syawal bersama beliau.



Ketika asyik menjamu selera, tiba-tiba aku tersedak bila terpandang sekeping gambar keluarga yang digantung didinding. Wajah arwah nenek kelihatan amat manis memandang kami semua. Aku jadi sebak..... Setiap kali aku ke kg Pandan menziarahi nenek, beliau pasti akan menangis teringatkan Mat Sah yang masih dikurung di Kem Kamunting. Dan kini, lebih tiga bulan setelah nenek kembali mengadap Ilahi, barulah Mat Sah dibebaskan...Sekiranya nenek masih hidup, pastilah beliau orang yang paling gembira sekali dengan pembebasan ini. Namun....segala-galanya sudah terlambat.....

Yang pergi ,tidak akan kembali lagi dan sudah pasti dimana tempatnya, namun bagi yang masih diberi nyawa, kehidupan terpaksa diteruskan ...Kami redha dengan pemergian nenek...

Pada musim perayaan ini kami tidak kemana-mana kerana Mat sah tidak boleh keluar dari wilayah yang ditentukan oleh polis.Beliau mengizinkan saya pulang ke Sabak Bernam beraya dengan keluarga belah saya disana, tetapi, tak sampai hati pula untuk menginggalkan beliau beraya dirumah bersendirian.

Selamat Hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan bathin dari kami bertiga, Mat Sah ,Norlaila dan Suhaib.


Read More !

Semua bekas tahanan ISA perlu dipulihkan semula....

| | 5 ulasan


"Kak, kena tunggu 3 atau 4 ulan , barulah suami akak akan jadi normal semula" kata Mila, isteri pasa bekas tahanan ISA Sanjeev Kumar pada saya malam semalam.
Itu adalah pengakuan ke sepuluh dari sejumlah isteri bekas tahanan ISA yang sudi berkongsi pengalaman menerima suami yang baru dibebaskan dari Kem kamunting.



"mereka mengalami tekanan mental yang sangat teruk....ambil masa yang banyak untuk pulih seperti sebelum ditahan dulu.Perangai mereka memang pelik banyak..." kata Puan H dari Negeri Sembilan.
"Mereka ditahan di Kem bertahun-tahun lamanya. Kita tak tahu apa yang SB dah buat pada mereka kerana tahanan tak mahu menceritakan pengalaman mereka didalam kem kerana tidak mahu ianya menjejaskan peluang untuk segera dibebaskan dari sekatan kawasan" kata Puan A dari Ampang.
Apa yang SB dah buat pada tahanan ya? Tunggulah Mat Sah jadi normal semula ...

Read More !

Solat Jumaat pertama setelah 7 tahun....

| | 3 ulasan


Semalam Mat Sah dan Suhaib menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Taman Keramat. Sejak ditahan dibawah ISA pada 18 April 2002 dulu, itulah pertama kali beliau berpeluang untuk solat Jumaat.Lebih 7 tahun beliau tidak dibenarkan solat Jumaat walaupun di keliling Kem Kamunting itu ada beberapa buah masjid yang besar dan cantek.



Inilah realitinya kehidupan sebagai tahanan ISA. Nak solat pun tidak dibenarkan.Agaknya, larangan menunaikan solat Jumaat adalah salah satu pemulihan oleh KDN pada tahanan supaya mereka segera "bertaubat" dan segera dibebaskan.
Bagus ke nak kekalkan ISA? Boleh le gunakan akta ini untuk halang lelaki Islam Solat Jumaat!!!



Read More !

Aku makin benci ISA....

| | 5 ulasan

"Eh, nak kemana ni? "tanya suami pada saya. "Ke Keramat Permailah, kedai hardware. kat situ banyak pilihan" kata saya lagi."Jangan!!!. Kita ke AU2 saja. Nanti tak pasal-pasal polis buat hal kat kita" kata suami lagi.Oh!!! Baru saya perasan deretan kedai yang selalu saya kunjungi itu berada di daerah lain dari Ampang Hulu Kelang.Aduh siksa juga bila bekas tahanan ISA masih lagi kena sekatan kawasan ni......



Sudah tujuh tahun lebih Mat Sah di kurung tanpa bicara di Kem kamunting. Bila dibebaskan, ada banyak pula syarat-syarat yang perlu dipatuhi....Saya rasa makin benci dengan ISA dan penguasanya. Tahanan ISA dibebaskan dari Kem Kamunting, tetapi masih lagi disekat kebebasan mereka dengan pelbagai peraturan yang sengaja diada-adakan.

Semalam saya bawa suami membelibelah di sebuah pasaraya mega di AU2.Keramat. Kesian saya melihatnya.Dia dah tujuh tahun tidak berada dalam suasana hari Raya dan kesibukan membeli belah. Suhaiblah yang banyak membantu beliau memilihkan barang-barang keperluan disamping menjadi pemandu pelancung kepadanya.Saya bersyukur sangat kerana Suhaib kelihatan amat matang dan banyak bersabar berhadapan dengan bapa yang baru "ditemui"nya itu.
Melihatkan keadaan Mat Sah, saya makin benci pada UMNO/BN kerana masih mahu mengekalkan ISA.Mereka tidak merasakan betapa ISA yang dikenakan keatas suami saya, begitu dahsyat kesannya keatas seorang manusia hingga saya merasakan seolah-olah seolah-olah ingin "membunuh" mental beliau.
Anda semua, doakanlah Abah Suhaib akan segera kembali seperti sediakala.

Read More !

Kami dalam proses memulakan hidup baru...

| | 16 ulasan

Sebaik saja tiba di KLIA dari Sandakan malam tadi, saya terus bergegas ke Kg pandan untuk menjemput Abah pulang kerumah. Sebaik saja tiba di ruang tamu rumah yang telah ditinggalkan lebih 7 tahun, beliau terus sujud syukur. Saya dan Suhaib memerhatikan dengan perasaan penuh syahdu....Suhaib kelihatan amat gembira.Kedua-dua beranak berpelukan untuk beberapa ketika.



Bagi saya sendiri, memang ada perasaan janggal dengan pembebasan ini.Selama lebih 7 tahun tiada lelaki menamakan dirinya "Husband" dalam di hp saya,tiba-tiba kini nama itu turut tersenarai.Semalam, saya menerima beberapa jemputan sambutan Aidilfitri di Johor dan Melaka.Saya biasanya akan segera memberi jawapan "ya" atau "tidak' secara instant.Namun kali ini, saya terfikir untuk memberitahu Mat Sah arah pergerakan yang saya perlu lakukan.

Sebaik saja masuk ke dalam rumah, Mat Sah memeriksa semua bilik yang telah 7 tahun tidak pernah dijejakinya.Saya rasa serbasalah untuk membenarkan Mat Sah masuk ke bilik tidur .... dan rasa kurang selesa bila dia duduk disebelah sambil memegang tangan saya.Dia juga berperangai yang sama.Beliau kelihatan agak kurang selesa , walaupun sudah berada dalam rumah sendiri.....
Pagi tadi, sebelum Solat Subuh, Mat Sah sibuk bertanya tentang baju yang perlu dipakai.Baju beliau yang ditinggalkan 7 tahun yang lalu, hampir semua sudah tidak boleh dipakai kerana telah berubah warna dan sebahagiannya telah terlalu buruk.Saya minta beliau "pinjam" baju Suhaib sementara membawanya membeli belah pakaian baru....
Inilah kesan pada kezaliman 7 tahun penahanan tanpa bicara ISA. Mereka terpisah dari dunia luar, hinggakan hubungan silaturrahim dengan ahli keluarga pun turut terjejas....Kami amat perlukan masa untuk membina hidup baru, kembali sepertimana tujuh tahun yang lalu...
Maaf belum semput upload gambar terbaru mereka berdua.



Read More !

Pembebasan Mat Sah lambang perjuangan rakyat.

| | 27 ulasan

"Adakah Kak Laila akan teruskan perjuangan menghapuskan ISA ini?" tanya Lih Yi dari AFP.Saya jawab "Ya, InsyaAllah" dengan kepastian lebih 100 peratus.
Sungguh manis pembebasan ini kerana dapat dikongsikan dengan rakyat Malaysia...merentasi batas semua kaum dan agama di negara ini. Ucapan syukur dan tahniah bukan saja dari ahli, aktivis dan ahli politik PR spt PAS, PKR, DAP,makkal Sakti malahan juga dari Gerakan!!!Saya juga amat tersentuh dengan kata-kata indah dari adik2 peguam di BAR Council yang turut serta menghayati ketegangan perasaan yang saya alami....semoga pembebasan Mat Sah akan menyuntik lebih semangat pada mereka untuk terus memperjuangkan pemansuhan akta tahan tanpa bicara ini.


Kami berdua masih di Hotel .... di Sandakan.Letih sangat, tetapi malam tadi susah nak tidur.Sepanjang malam sms berbunyi.....dan setiap kali berbunyi, saya pasti nak tengok siapa yang hantar ucapan itu!!!Boleh silentkan, tapi tak best.Saya juga ingin melayani perasaan gembira rakyat@orang ramai yang selama ini turut sama bersusah payah dalam perjuangan ini.

Pastinya hati saya amat teringat pada kawan2 di GMI ie Syed,Nalini, Nash,Lat, Fadiah ,Zainal, Kak Nuri, Haji,K.jije, K.Animah, Jin Cheng, Toh...dan ramai lagi yang selama ini pernah sama-sama mengerah masa dan tenaga untuk menggerakkan kempen GMI.Percayalah, perjuangan GMI adalah melambangkan perjuangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan bencikan kezaliman. Himpunan 1 Ogos baru ni adalah manifestasi jelas dari rakyat bahawa selama ini, mereka menerima, mengakui dan mengiktiraf perjuangan membebaskan tahanan ISA yang dilakukan GMI.
Saya tidak akan lupa, aktivis dari JIM, khasnya JIM daerah Ampang Jaya yang selama ini sentiasa cuba memahani dan meladeni keperluan peribadi dalam meneruskan jerih payah dalam perjuangan yang agak panjang ini.Pada media alternatif ,ie Harakah ,Malaysiakini, bloggers dan personal websites, semuanya ada peranan yang besar untuk memastikan segala arah dan suara perjuangan ini dapat dikongsikan dengan rakyat dan terbukti ianya telah membuahkan hasil....

Setakat ini dulu....akan cuba update lagi...
Sekali lagi saya ucapkan syukur pada Allah kerana telah memberi kesabaran,kekuatan dan kawan-kawan yang bersemangat tinggi untuk mengharungi semua kesukarn ini.


Read More !

Alhamdulillah, Abah dah balik rumah..

| | 85 ulasan

Panggilan dari Rahim dan rahmah of Malaysiakini amat memeranjatkan saya. Kenapa? Kerana mereka kata Menteri Dalam Negeri kata, Mat Sah antara 5 orang yang akan dibebas dari ISA!!!Beberapa minit lepas itu, telefon saya mendapat panggilan bertalu-talu tanpa henti dari semua bangsa di malaysia. Mesej sms? Beratus-ratus jumlahnya dan ada yang saya beum sempat jawab lagi.



Secara umumnya, dari pembebasan ini, saya ucapkan syukur pada Allah SWT yang akhirnya memberi izin supaya mat sah mendapat kembali kebebasannya setelah 7 tahun 3 bulan dikurung tanpa sebab di Kem Kamunting.Kegembiraan saya adalah berdasarkan 3 perkara berikut:-

1- Mat Sah mendapat kembali kebebasan beliau.
2-Dia dapat bersama keluarganya semula.
3-Dia akan hidup sebagai manusia yang bebas dan merdeka.

Tiada siapa yang akan faham bagaimanakah perasaan keluarga dan dan mangsa ISA dalam situasi begini. 7 tahun yang berlalu tak akan dapat di ganti kembali dengan mudah....namun kami akan cuba menyesuaikan diri dengan suasana baru ,menerima seseorang yang telah 7 tahun dipisahkan dari kami.

"Tidak sempurna iman seseorang sebelum dia diuji..." Doakanlah saya dan Suhaib akan tetap bersabar dengan apa saja ujian yang bakal mendatang.Kami sudah melepasi ujian perpisahan 7 tahun, dan kami bersedia untuk menghadapai cabaran kehidupan dihari yang selanjutnya....

Read More !

Terimakasih pada JIM-Ampang Jaya

| | 1 ulasan

Ketua Wanita JIM-AJ , Kak Jeriah bersama sebahagian Wanita JIM-Ampang Jaya. Kak Pah berdiri dibelakang, nombor 3 dari kiri.

Kak Wan, bertudung putih......

"Ila jangan lupa datang ke Majlis Iftar Perdana Ahad ni ya" sayup suara kak Pah dihujung talian. Hati ini terusik bila mendengar suara itu.....
"Kak Pah, saya akan hadir ke iftar perdana JIM Ampang Jaya kerana dah banyak kali terlepas peluang untuk bersama-sama berbuka puasa dengan "you all" yang selama ini begitu konsisten dengan pelbagai aktiviti untuk memurnikan amalan Islam dalam masyarakat.Selalunya jika ada program iftar bulanan, ceramah Perdana dan sebagainya, berkebetulan saya ada program lain atau berada diluar kawasan , memang terasa rugi tidak dapat menyertainya...." kata saya pada Kak Latifah yang tidak pernah lupa menalipon atau menghantar sms mengingatkan saya tentang aktiviti terkini mereka.



Hari ini,sepatutnya saya berbuka puasa di Johor. "Orang Johor rindu nak dengar perkongsian akak lagi.." kata Khairul Faizi memujuk saya supaya hadir ke majlis itu.Namun, apakan daya, saya sudah mengambil keputusan untuk menghadiri Iftar Perdana JIM-AJ yang diketahui melalui hebahan emel seminggu lebih awal dari jemputan Faizi. Tiada apa yang dapat mengubah keputusan itu!!!




Terlalu banyak budi orang JIM-AJ pada saya. Dari CPU komputer ke tayar kereta....mereka cuba penuhi keperluan saya. Duit? Biasanya saya akan hantar sms pada Kak Wan, dan responnya pasti positif!!!Itu dari sudut material. Setiap kali ada program kuliah mingguan atau usrah, pasti ada saja yang akan sms mengingatkan tentang semua program-program tersebut.Cuma...saya je yang sering tidak dapat memenuhinya secara konsisten kerana pertembungan dengan aktiviti GMI.


Terimakasih pada semua yang sentiasa memberi perhatian, sokongan moral dan bantuan material selama ini.Semoga segalanya akan diganti oleh Allah dengan ampunanNya , pahala yang berlipat kali ganda dan ianya menjadi tiket untuk segera masuk syurga Nya.Ameen.






Read More !

Doa mereka untuk semua tahanan ISA

| | 4 ulasan






"Ya Allah, Kau bebaskanlah semua tahanan ISA,Kau bebaskanlah mereka yang tidak diketahui apa dosa yang mereka lakukan , Kau bebaskanlah mereka yang telah dikurung bertahun-tahun , Kau lembutkanlah hati penguasa yang zalim itu supaya terbuka hati untuk membebaskan semua tahanan tersebut...."



Doa yng dibaca oleh Faizal amat menusuk kalbu. Kami, menadah tangan, tunduk dan mengaminkan doa itu penuh khusyuk. Dimalam ke 23, di sepuluh malam akhir Ramadhan, semua bermunajat supaya semua tahanan ISA dibebaskan agar mereka dapat kembali kepangkuan keluarga menjelang lebaran yang bakal tiba.


Terimakasih diucapkan pada adik-adik Alumni MMU yang telah sudi menjemput saya dan Puan M untuk sama-sama berbuka puasa , bertarawikh dan menerima sumbangan dari mereka. Majlis sederhana yang diadakan di Hotel Citrus itu sederhana tetapi meriah dengan keramahan serta ukhuwwah yang ditunjukkan oleh semua yang hadir.Semoga Allah ganti dengan ampunanNya dan pahala yang berlipat ganda.Ameen.















Read More !

Doa ku untuk mu...Penguasa ISA

| | 4 ulasan


"Ya Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, Tuhan yang menciptakan manusia dari setitis air mani , engkau Maha melihat dan lebih mengerti apa yang sedang dilakukan oleh orang -orang yang zalim terhadap keluarga kami. Aku berserah padaMu untuk memberi balasan yang paling sesuai, yang tidak terfikir dalam minda kami, terhadap Menteri Dalam Negeri dan semua kakitangannya yang bersubahat melaksanakan penahanan tanpa bicara ISA keatas ahli keluarga kami.Ameen.



Doa itu sering ku tulis di kepala surat.Maknanya, sesiapa saja yang membaca surat untuk Abah, beliau terpaksa membaca ayat itu terlebih dulu.Sudah menjadi kebiasaan, semua surat-surat dari keluarga untuk tahanan ISA akan dibaca oleh warden Kem terlebih dulu.Begitu juga surat dari tahanan untuk keluarga mereka, akan diperiksa dulu kandungannaya oleh warden yang sama.


Pernah satu ketika, saya di panggil oleh Pengarah Kem kerana menulis doa seperti itu di kepala surat.Pengarah itu minta saya menarik balik doa tersebut kerana dia amat khuatir akan memberi kesan negatif kepada sesiapa saja yang terlibat dengan tahanan ISA. Saya akur walaupun dalam hati berkata " Doa adalah milik peribadi.Sepatutnya tiada siapa pun berhak untuk mempersoalkan doa-doa yang dibaca atau diamalkan setiap hari.Sesiapa saja boleh berdoa kepada Allah SWT".


Namun, inilah realitinya.Dalam sistem UMNO/BN, doa juga termasuk dalam senarai perkara-perkara yang dalam kawalan mereka!!!


Pembaca blog MerahHitam sekalian, apakah doa anda semua untuk kami yang sedang dizalimi oleh ISA ini? Dan apakah doa anda untuk si penguasa ISA yang zalim itu?





Read More !

8 tahun dipisahkan di Aidilfitri dan masih berterusan....

| | 2 ulasan

Kak Yah bertudung putih dan saya....


“Kak Yah ok ke?’ tanya saya pada Puan Zakiah Mat, isteri pada Dr Abdullah Daud, yang sudah lebih lapan tahun di kurung tanpa bicara di Kem Kamunting. Saya perhatikan, beliau kelihatan agak lelah, kerap batuk sambil mengurut dada




“Macam ni lah Laila. Anak ramai…kena lah kerja lebih sikit” jawab beliau sambil jari-jemarinya ligat menyusun plastik untuk diisi dengan kueh tepung pelita dan dijual pada penduduk berhampiran kawasan rumah beliau.”Laila cuma ada seorang , tak lah penat sangat jaga dia...kan?” Kak Yah bersuara sambil merenung wajah saya .K.Yah mempunyai 10 orang anak dimana 8 darinya masih dialam persekolahan.”We are on the same boat”,tentu sekali saya amat memahami situasi dan perasaan seorang wanita yang terpaksa menjadi ibu dan ayah serta membesarkan anak-anak tersebut bersendirian.

”Anak-anak Kak Yah tak mahu pergi ke Kem Kamunting pada hari raya. Membazir duit je kerana dapat bertemu dengan ayah paling lama pun satu jam. Penat dalam perjalanan dari Johor ke Taiping pun tak hilang, lepas tu kena berpisah lagi dengan ayah” demikian kata Kak Yah pada saya panjang lebar. Anak-anak pun dan biasa beraya tanpa ayah mereka. Mereka sedeh ,pilu dan hiba menjelang 1 Syawal, tetapi nak buat macam mana, tiada daya untuk memaksa kerajaan membebaskan ayah yang telah lapan tahun di pisahkan dari kehidupan mereka.


Inilah kekejaman paling utama akta ISA. Tahanan tidak pernah dibicarakan. Tiada peguam bela, tiada pendakwaraya, tiada bukti-bukti , tiada hakim yang perlu mendengar perbicaraan. Tiada keputusan hakim yang boleh dilakukan rayuan atau review. Tahanan dilayan seperti nasib seekor binatang.

Kerajaan UMNO/BN menyiksa,menganiaya dan menzalimi rakyatnya sendiri. Namun, mereka semua, mangsa ISA masih ada orang ramai @rakyat mMlaysia yang perihatin dengan kesukaran hidup disebabkan akta tahan tanpa bicara ini.

Kepada semua rakyat yang perihatin, ditangan anda semualah wujudnya kegembiraan untuk mereka. Teruskan membantu mereka supaya 1 Syawal akan mengubat sedikit kesedihan dihati mereka.Sumbangan anda boleh di sampaikan melalui akaun Bendahari GMI, Pn Nashita Md Noor, May Bank 162209939776, no hp 0132096373.

Semoga segala bantuan tersebut akan diganti Allah dengan keampunanNya diikuti pemberian pahala yang berlipat kali ganda.

Read More !

Dilema keluarga tahanan ISA.....

| | 1 ulasan

Sebahagian dari isteri tahanan ISA yang tinggal di Sabah.Suami mereka telah dibebaskan.




“Maaf ya .Saya tak dapat hadir ke majlis berbuka puasa tu…kalau SB tahu, mesti suami saya tak dibebaskan pada Hari Raya ini..” kata Puan H menerusi sms.
”Tapi kalau ada yang nak datang kerumah kerana ingin memberi sumbangan…. Saya benarkan” tambah sms itu lagi.
Sejak ISA diambil alih oleh UMNO/BN, kebiasaannya, wanita dan anak-anaklah senjata penting yang digunakan oleh SB untuk memujuk tahanan ISA supaya mengaku atau menerima saja sebarang tuduhan yang direkacipta khas untuk tahanan tersebut.


Dan yang lebih malang, kebiasaannya, musim perayaan ini digunakan sepenuhnya oleh SB untuk memaksa tahanan yang dijadikan ”kambing hitam” itu supaya segera saja mengaku kesalahan yang mereka tidak pernah lakukan, untuk membuktikan pada rakyat bahawa polis dan KDN telah melakukan tindakan yang betul demi menjaga keselamatan negara.

Inilah dilemanya menjadi keluarga tahanan ISA. Mereka (tahanan ISA) ditahan dan di labelkan dengan pelbagai jenama seperti KMM, Al Maaunah, JI, Pengganas Antarabangsa dsb, namun tidak pernah sekalipun semua tuduhan itu, ada peluang untuk di bersihkan di mahkamah.Taiada perbicaraan, tiada keputusan hakim dan selanjutnya, tiada review untuk tahanan membuat rayuan!!! Semua keputusan adalah muktamad, di tangan Menteri Dalam Negeri.

Semoga bulan Ramadhan yang penuh barakah ini akan membuka lebih banyak lagi hati-hati rakyat Malaysia,terutamanya yang Melayu-Islam supaya cuba memahami kenapa ISA ini begitu zalim dan wajib di bubarkan dengan segera.

Read More !

Mereka juga ingin bergembira di Hari Raya....

| | 1 ulasan

Suhaib Mat Sah berbaju biru dan Faiq Lokman berbaju hijau adalah sebahagian dari berpuluh-puluh anak tahanan ISA yang masih dikurung di Kem Kamunting.



Pada hari ini, ada 17 tahanan ISA dengan 40 bilangan anak dan isteri masih menjadi mangsa akta tahan tanpa bicara ISA. Walaupun pada 1 ogos lalu rakyat telah memberitahu pada PM mereka tidak menolak ISA kerana unsur tahan tanpa bicara itu, namun nampaknya, PM dan Menteri Dalam Negeri masih belum bersimpati untuk membebaskan kesemua tahanan, dibulan mulia ini.





Kesemua anal-anak itu telah kehilangan orang yang sepatutnya mencari rezki untuk mereka.Bapa-bapa mereka yang masih ditahan dibawah ISA, tiada pekerjaan yang boleh menjana wang untuk diberikan pada keluarga bagi menyambut perayaan yang bakal menjelma di penghujung Ramadhan mulia ini.

Bapa mereka masih dianiaya oleh Menteri Dalam Negeri yang nampaknya belum mahu membebaskan , walaupun sedang berada di bulan yang penuh kemaafan dan keberkatan ini. Apakah perasaan isteri dan anak-anak ini? Adakah anda semua sampai hati melihat mereka yang sedang dizalimi ini, menyambut kegembiraan Syawal dalam keadaan serba kekurangan lantaran bapa mereka masih di kurung di Kem Kamunting sana?

Silalah tunjukkan keperihatinan anda dengan menghulurkan sedikit bantuan supaya mereka juga dapat bergembira sepertimana insan lain.Saya merayu agar lebih ramai bloggers Muslim yang akan linkkan bannner GMI ini di blog masing-masing supaya lebih ramai yang akan menyumbang untuk tujuan ini.Saya mensasarkan sekurang-kurangnya cuba memperolehi dalam lingkungan RM 10 – 15 ribu supaya dapat diagihkan samarata kepada semua mangsa.

Anda yang menyumbang di akaun Bendahari GMI, dibawah nama Nashita Md Noor, May Bank 162209939776, boleh telefon beliau di hp 0132096373 untuk memastikan wang telah dimasuk ke akaunnya.Semoga Allah beri pahala yang berlipat kali ganda kepada setiap sumbangan di malam sepuluh akhir Ramadhan ini.

Read More !

We're proud of you, young lawyers!!!

| | 1 ulasan

Peguam muda yang terlibat dalam HMI 09 baru-baru ini.

Suhaib dan Ammar, dua remaja yang ditahan, diselamatkan oleh peguam dari terus direman di Balai Polis Petaling.Faiq di tengah ialah anak seorang tahanan ISA.

Peguam Tina yang berwajah baru kerana sudah bertudung, sebahagian dari mereka yang menggerakkan jawatankuasa hak asasi Bar Council.


Jika selama ini ahli masyarakat berpendapat bahawa kerjaya peguam hanya untuk glamour dan mengaut keuntungan semata-mata, kini mereka (peguam muda dari Legal Aid Center )telah menolak persepsi negatif itu.











Mereka telah membuktikan bahawa kerjaya utama peguam ialah untuk membela rakyat yang teraniaya dari sudut perundangan, mula menampakkan hasilnya.Peguam muda dari Legal Aid BAR Council ini terbukti telah memberi komitmen yang sangat tinggi ketika berhadapan dengan situasi penahanan rambang lebih 500 para peserta himpunan aman MANSUH ISA yang diadakan bulan Ogos lalu.Disaat saat genting ketika KDN mengarahkan polis menahan orang ramai yang memakai baju berwarna merah atau hitam yang memunyai lambang anti-ISA, sekumpulan peguam telah membuat jadual tugasan secara giliran selama 24 jam tanpa henti. Mereka bersama-sama aktivis hak asasi dari SUARAM memantau"urgent arrest" yang begitu berleluasa pada hari tersebut, dan dimasa yang sama terpaksa berhadapan dengankedegilan pihak polis yang tidak membenarkan mereka melawat lebih 80 tahanan di beberapa buah balai polis sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, melibatkan dewasa lelaki dan kanak-kanak bawah umur.
Mereka telah bertugas tanpa henti pada 1, 2 hingga 3 ogos. Sekumpulan peguam melwat dan mendapatkan maklumat dari OKT, sebahagian yang lain mewakili OKT dari terus ditahan reman dihadapan majistreet dan sebahagian lagi mewakili OKT yang telah disambung reman mereka dan dibawa ke mahkamah Jalan Duta.
Mereka, peguam muda ini memberi satu petunjuk yang jelas pada rakyat Malaysia , mereka telah menjadikan diri masing-masing sebagai sebahagian dari "solution" terhadap pembinaan semula imej keadilan dalam perundangan Malaysia yang telah dicemari oleh politik kotor UMNO/BN.
We are really proud of you guys and keep the flag up!!!

Read More !

Antara dua darjat.

| | 2 ulasan


Sudah terang lagi bersuluh. Kalau orang UMNO buat demo, mereka selamat(Ketua UMNO Selayang mengaku turut berada di perarakan itu).Tiada persoalan samada ada permit atau tidak. Boleh bawa banner dalam pelbagai tulisan (salah satunya perkataan TAKBIR di tukar pada TAKE BEER!!).Bawa kepala lembu pun boleh.Polis begitu berhati-hati sebelum menangkap mereka-mereka yang berarak dengan kepala lembu tersebut.Laporan Malaysiakini ini membuktikannya."IGP: More investigation needed on cow-head protest-Malaysiakini."



Layanan polis amat berbeza terhadap peserta himpunan ISA Ogos(HMI09) lepas.Mereka tidak berada dilokasi demonstrasi.Mereka tidak berarak dengan baju yang ada lambang anti-ISA.Tetapi mereka telah ditahan 12 jam lebih awal dari jadual demo himpunan, yang sepatutnya diadakan di 3 lokasi Masjid Negara, Masjid Jamek dan Sogo, jam 2 petang.



Polis memang tahu mereka silap tangkap . Orang kena tahan( OKT) tidak berada ditempat demo,tetapi telah didakwa di mahkamah kerana menyertai himpunan haram.Pendakwaraya ang mewakili polis mengeluarkan tuduhan baru iaitu mereka didakwa kerana "membekalkan beberapa helai baju merah dan topi kepada Gagasan Mansuhkan ISA.".Lihat laporan Malaysiakini "13 pleaded not guilty to supplying anti-ISA T-shirts".
Inilah kisah benar layanan polis KDN kepada satu bangsa yang sama, tetapi mengikut darjat yang berbeza.Seolah-olah di Malaysia ni, hanya penyokong UMNO saja yang bayar cukai untuk membayar gaji polis termasuk IGP!
Peristiwa demo kepala lembu ini hanya;ah satu permulaan kepada penyerlahan siapa UMNO sebenarnya!!!




Read More !

Akta polis, telefon bimbit dan Abah Suhaib.

| | 2 ulasan

Lihatlah gaya santai dua OKT dari Melaka.Berbaju Melayu ialah blogger Hasbullah Pit.

Nisa, salah seorang peguam wanita yang hadir di mahkamah Sesyen semalam.



Semalam, ketika di mahkamah Sesyen 5, saya dan 29 OKT himpunan MANSUH ISA(HMI09) hanya mendengar sebutan kes saja.Satu perkara yang menggembirakan ialah dapat bertemu kembali dengan semua OKT.Mereka nampak ceria. Hasbullah dari Melaka siap beli sepasang baju melayu baru warna hitam lengkap dengan kain sampin khas untuk hari sebutan itu.




Disaat satu Malaya bercakap mengenai demo kepala lembu yang disokong oleh Menteri Hisamudin, saya yang telah ditangkap polis sebelum sempat menghadiri demo, terpaksa berhadapan dengan dua kes polis iaitu kes menyertai himpunan dan kes tak bawa kad pengenalan.Bukan tak bawa IC pada hari tu, cuma saya tidak serah pada polis untuk disimpan oleh mereka kerana dah tahu dengan perangai polis Malaysia yang kurang bertanggungjawab dan tidak boleh dipercayai.Polis kata, kami tak serah My Kad, tapi dia tak sedar, dari mana datangnya nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat rumah yang lengkap jika kami tidak bekerja sama dengan mereka.Semua fakta dalam My Kad tu dah diberikan pada mereka, cuma tak bagi polis pegang dan simpan...Tu je!!!!Itupun boleh jadi kes mahkamah.

Syukur semalam, pendakwa dan peguam kami sepakat supaya dua kes saya ini di satukan, sekurang-kurangnya, kami tak perlu berulang alik dua tiga kali kemahkamah!
Keluar dari mahkamah semalam, saya dan OKT yang lain sempat berbual-bual dan bergambar dengan dua orang peguam wanita yang bakal mewakili kami.Saya difahamkan,ada ramai lagi peguam, terutama dari PAS yang kan turun padang untuk membantu kami dalam kes ini.

Balik dari mahkamah, saya terus pulang kerumah kerana ada beberapa urusan perlu diselesaikan tetapi tiba-tiba je telefon bimbit ”blackout”.Puas cuba usik itu-ini, tapi masih macam tu je.Nada sms tetap ada seperti biasa tetapi saya tidak dapat melihat siapa penghantarnya kerana skrin hitam dan kelam!Ya Allah... macam mana nak buat kerja dan berhubung dengan orang lain jika alat perhubungan utama dah tidak berfungsi ni???Saya kira lebih sepuluh sms yang masuk ,tapi sms di peti simpanan tidak dapat di buka. Sebelum ni, biasa juga telefon hitam ni buat hal, tetapi dua-tiga minit kemudian dan baik semula.Tapi kali ni, dia sudah menunjukkan kerosakan yang sebenar!!! .Ahhhh!!!! Tensionnyer!!!! Memang kena hantar kedai cepat!!!Dulu, saya pernah menunjukkan wajah yang pelik pada beberapa orang teman yang bawa telefon bimbit sampai dua sekaligus.Tapi bila keadaan seperti ini terjadi pada saya, barulah saya memahami keperluan tersebut...

Dalam kalut-kalut tu, teringat Abah di Kem yang dah tujuh tahun lebih dikurung , tidak mengetahui mahupun menggunakan pelbagai peralatan canggih diluar. Saya mencongak sendiri. Dalam sehari, kalau salah satu alat seoerti kereta, komputer atau telefon bimbit tidak berfungsi, ”stress” juga dibuatnya!!! Macam nana dengan abah ya? Duduk ditempat yang serba dhaif, sentiasa melihat warden beruniform coklat gelap yang ada cotar di pinggangnya,waktu siang kunci mangga dibuka, tapi jam 7petang hingga 7 pagi esoknya dikunci dari luar.Itu saja dunianya.....Dan tak tahu pula bila nak dikeluarkan dari tempat itu! !!

Ohh...tak boleh fikir lama-lama tentang keadaan Abah Suhaib, nanti saya jadi lebih tertekan. Dia lain, fikir saya. Abah seorang yang kuat mindanya.Sebab itu beliau boleh terus ”hidup” dalam sistem yang direka khas untuk menjadikan seseorang itu bodoh dan gila!!!

Read More !

Reunion OKT Himpunan MANSUH di Mahkamah Sesyen 5

| | 0 ulasan

Pengerusi GMI@Pengarah HMI juga hadir memberikan solidarity beliau pada semua 29 OKT.

Mereka semua sentiasa bersemangat untuk mendengar mengapakah mereka dikatakan salah kerana menyertai Himpunan MANSUH ISA.

Empat dari lima orang OKT wanita yang turut ditahan di Himpunan MANSUH 1 Oos lalu.

Sebahagian dari 29 OKT HMI09 bersama Honey Tan, salah seorang peguam yang mewakili mereka.
Cerita lengkap, sila lihat http://ummuasiah2001.blogspot.com









Read More !

[ Merah Hitam © 2009 ]
[ Designed by وان ][ Powered by Blogger ]

[ Top ]
[ Home ]