(Gambar ini di ambil pada akhir tahun 2002 di pintu utama Bukit Aman, Kuala Lumpur.Suhaib berumur 9 tahun)
(Suhaib bersama saya di hadapan IPD Dang Wangi ketika saya ditahan polis kerana menyertai himpunan anti-perang pada 11 Januari 2009. Suhaib memasuki usia 16 tahun.)
Suhaib dan saya di perhimpunan tahunan PKR ,Stadium Malawati , Shah Alam akhir tahun 2008."Seseorang anak itu juga boleh dikatakan sebagai anak yatim bukan saja kerana tidak mempunyai bapa.... bapanya hidup dan tinggal bersama anaknya tetapi si bapa tidak memberi perhatian, bimbingan ,kasih-sayang dan didikan yang sempurna kepada anaknya...." sangat jelas kata-kata dari Ust Z, salah seorang ahli panel dalam rancangan HALAQAH di TV 9.
Abah Suhaib bukan tidak mahu memberi didikan,bimbingan dan kasih sayang padanya, tetapi beliau dinafikan hak untuk berperanan sebagai seorang ayah oleh Menteri Dalam Negeri selama 7 tahun dan berterusan......
Secara tiba-tiba aku teringatkan Suhaib. Dia adalah satu hadiah yang amat berharga dari Allah SWT kepada aku dan suamiku.Aku tidak akan lupa segala peristiwa yang menuju pada satu kenyataan bahawa aku akan menjadi seorang ibu.
Awal tahun 1993,setelah hampir empat tahun berkahwin, aku mengalami demam panas yang berpanjangan sehingga hampir dua minggu lamanya.Sebelum itu aku hanya mengambil panadol kerana menyangka demam biasa saja. Namun bila demam itu semakin berlarutan aku terpaksa mendapatkan rawatan di klinik, dan aku agak terkejut bila doktor mengesahkan aku mengidap demam denggi. Pulang dari klinik, aku masih merasa hairan mengapa demam denggi ini diikuti dengan rasa loya , muntah-muntah dan tidak boleh tahan dengan bau perfume serta bedak yang sering ku guna manakala haidku tetap keluar seperti biasa. Aku tidak puas hati dengan pemeriksaan doktor pertama, terus mencari klinik lain dan menceritakan keadaan yang sedang aku lalui ketika itu.
Berlaku lagi satu kejutan yang lebih besar!!! Doktor Z dari Klinik Pakar di Taman Melawati mengesahkan aku mengandung 10 minggu dan dimasa yang sama sedang mengalami demam denggi!!!Doktor Z memarahi aku kerana terlalu cuai menjaga kesihatan diri. Petang hari yang sama, aku telah dimasukkan ke wad di HKL untuk menjalani rawatan demam denggi.....Ya Allah yang Maha Kaya....Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa telah mengizinkan Suhaib terus hidup....
Suhaib dilahirkan di HKL melalui pembedahan dan beliau terpaksa tinggal didalam inkubator selama hampir dua minggu kerana ketika dilahirkan, beliau adalah bayi yang berwarna biru (baby blue). Namun sebaik saja keluar dari HKL, Suhaib membesar dengan cepat dan beliau mempunyai kulit yang amat cantek iaitu putih merah.... dan sebab itulah diberi nama "Suhaib" di ambil sempena satu nama sahabat yang amat popular ketika Nabi Muhammad SAW masih hidup.
Ketika Suhaib berusia empat bulan, aku pula dijangkiti demam kuning yang memaksaku tinggal di HKL hampir empat bulan lamanya.....Alhamdulillah ketika itu dua orang adik perempuanku belum berumah tangga, merekalah yang membantu menjaga Suhaib disamping abahnya sendiri.
Suhaib amat rapat dengan abahnya. Kami berdua amat menantikan kehadirannya, dan sudah tentu Suhaib dilayan bagai menatang minyak yang penuh. Dalam bahasa Inggeris, "he's the apple of our eyes..." namun tiada siapa menyangka, semakin dia membesar, rupanya ada dugaan yang lebih besar menantinya kerana beliau terpaksa membesar sebagai anak seorang tahanan ISA....
To be continued...







































